adat resam






MUHAMMAD ELIAS NAIM BIN FAKHROL EKRAM





Pengenalan

Dalam kesusasteraan Melayu tradisional, puisi merupakan salah satu daripada kesusasteraan rakyat yang lahir dalam bentuk tradisi lisan. Puisi ini lahir dalam berbagai-bagai masyarakat. Menurut Ismail Hamid (1986), puisi ini berkembang melalui pertuturan dan diwarisi lisan dari generasi ke generasi yang lain menerusi tradisi lisan. Dengan kata lain, puisi merupakan hasil kesusasteraan yang diwarisi dari zaman lampau yang dirakamkan dalam bentuk ingatan oleh ahli-ahli masyarakat dan dianggap sebagai milik bersama mereka.

1.2 Definisi Konsep

1.2.1 Syair

Menurut Raja Ali Haji dalam Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional (1987:126)…erti syair ialah susunan perkataan yang berirama sama pada bunyi akhirannya. Ia wujud berpasangan namun ia tidak sama seperti gurindam serta tidak memerlukan kesempurnaan pasangan.

Penjelasan yang diberikan oleh Ismail Hamid (1987:247) nampaknya lebih khusus tentang syair Melayu. Menurutnya :

Syair dalam Kesusasteraan Melayu mengambil pengertian rangkap-rangkap bersajak yang terdiri daripada empat baris yang berjodoh bunyinya di hujung ke empat-empat baris dengan sajak a-a-a-a. Setiap baris mengandungi empat kata yang mempunyai 8,9,10 atau 12 suku kata.

Alwi Salim (1983:61) pula berpendapat, syair ialah satu karangan yang tersusun rapi perkataannya secara berangkap-rangkap dan seimbang serta mempunyai pertentangan bunyi yang sama pada hujung tiap-tiap barisnya.

Berdasarkan penjelasan di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa syair adalah karangan berangkap yang terdiri daripada empat baris serangkap dengan persamaan bunyi pada hujung setiap barisnya.

1.2.2 Endoi atau Berendoi

Endoi bermakna buaian. Adat-istiadat berendoi pula bermakna adat membuai anak kecil. Endoi ini biasanya dilagukan dalam adat berendoi iaitu menyambut kelahiran bayi. Lagu-lagunya pula tetap dalam bentuk syair (Harun Mat Piah, 1989:226)

1.3 Batasan

Dalam tugasan ini, Penulis akan membincangkan aspek-aspek definisi, ciri-ciri dan fungsi syair yang merupakan salah satu daripada genre puisi Melayu tradisional dengan berdasarkan bahan dokumentasi “Syair Berendoi”.

1.4 Kaedah

Penulis menggunakan kaedah perpustakaan, temuramah dan juga rakaman dalam menyiapkan tugasan ini.

2.0 Syair Berendoi

2.1 Latar belakang syair

Syair adalah salah satu kelompok puisi Melayu tradisional yang tergolong dalam sastera rakyat. Menurut Siti Hawa Hj. Salleh (ed. 1987:123), syair sebagai satu genre puisi telah lama wujud seperti bentuk puisi tradisional. Syair terawal yang masih wujud dianggap berasal dari seorang ahli mistik Sumatera abad ke-16 Hamzah Fansuri dan bentuk ini masih terus dipergunakan selewat-lewatnya dalam tahun 50-an.

Syair merupakan salah satu seni yang lahir hasil daripada pengaruh Islam di alam Melayu. Orang Melayu mengenali syair sejak zaman bermulanya Islam bertapak di alam Melayu melalui pengkajian kitab yang terdapatnya bentuk syair seperti kitab al-luma’,Fusus al-Hikam,al-Insan al-Kamil yang mula-mula dibawa pengembang agama ke Melaka (Majlis Peperiksaan Malaysia, 1996:xxx) Sebaliknya, asal-usul pemakaian kata-kata syair dan penciptaanya masih lagi menjadi isu perbahasan di kalangan sarjana. Mohd. Yusof Md. Nor dan Abdul Rahman Kaeh (1985:viii) menyatakan, sejauh ini terdapat empat pendapat yang berbeza :

i. Kata-kata syair itu datangnya dari Arab-Parsi,maka syair dianggap datang dari luar.

ii. Meskipun kata syair ada kaitannya dengan bahasa Arab-Parsi,tetapi bentuk syair adalah ciptaan orang Melayu di Nusantara ini.

iii. Syair sudah ada sejak abad ke-15 di Melaka.

iv. Syair di karang oleh Hamzah Fansuri dan berkembang selepasnya.

Walaupun begitu, kebanyakan pengkaji bersetuju bahawa istilah syair adalah berasal daripada bahasa Arab yang bermakna puisi secara umumnya. Dalam masyarakat Melayu istilah syair telah diterima pakai menjadi satu istilah khusus. Justeru, Harun Mat Piah (1989) membuat rumusan bahawa syair Melayu adalah hasil ciptaan asli masyarakat Melayu sendiri. Ini dapat dilihat dari kenyataannya (1989:216) :

Daripada pemeriksaan yang ringkas itu dapatlah dibuat kesimpulan iaitu syair Melayu tidak dibuat berdasarkan puisi Arab atau Parsi. Jika demikian, nyatalah benarnya pendapat yang mengatakan syair Melayu sebagai ciptaan masyarakat Melayu.

Dalam sesebuah syair, apa yang dipentingkan ialah ceritanya yang dijadikan dalam bentuk berlagu supaya dapat dinyanyikan dengan menarik sekali. Hal ini sesuai dengan tujuan dan peranan syair dahulu dengan masyarakatnya iaitu bertujuan untuk menghiburkan.

2.2 Ciri-ciri

2.2.1 Bentuk

Lazimnya dalam syair Melayu bentuk yang biasa ditemui ialah empat baris serangkap dengan rima akhirnya a/a/a/a. Walaupun begitu terdapat juga bentuk-bentuk yang lain.

Keseluruhannya, syair Berendoi ini mempunyai empat baris serangkap dan terdapat empat perkataan dalam sebaris. Ini dapat dilihat seperti berikut:

Ibu bapamu berdoa selalu

Supaya kamu dimasukkan iman

Inilah saja pesan ibumu

Sabar itu kepala ilmu

Manakala bilangan sukukatanya terdiri di antara 9 hingga 12 suku kata.

Contoh:

Ib/u ba/pa/mu ber/do/a se/la/lu (11 suku kata)

Su/pa/ya ka/mu di/ma/suk/kan i/man (11 suku kata)

I/ni/lah sa/ja pe/san i/bu/mu (10 suku kata)

Sa/bar i/tu ke/pa/la il/mu ( 9 suku kata)

Syair Berendoi juga mengambil bentuk syair namun terdapat sedikit perubahan pada susunan rima akhirnya. Dalam syair ini, terdapat beberapa pola susunan rima akhir, antaranya :

i. a/a/a/a

Bentuk ini cukup biasa ditemui dalam syair Melayu dan penggunaannya begitu dominan sekali. Dalam syair Berendoi, penggunaan susunan rima akhir a/a/a/a ini dapat dilihat dalam rangkap berikut :

Dua puluh lima rasul pilihan

Nama tersebut di dalam Al-Quran

Martabat yang tinggi dilebihkan tuhan

Hendaklah kita imankan

Mula pertama nabi Allah Adam

Nenek manusia kafir dan Islam

Mula asalnya dari Islam

Di tempat Jibarail tanah segenggam

Dalam rangkap 1 di atas, rima akhir setiap ungkapan ialah a/a/a/a dengan bunyi suku kata an/an/an/an manakala rangkap 2 juga mempunyai rima akhir a/a/a/a dan bunyi suku katanya am/am/am/am

ii. a/b/a/b

Susunan rima akhir a/b/a/b ini ditonjolkan melalui seperti berikut dengan bunyi suku kata an/ta/an/ta, iaitu :

Ayuhai budak yang cantik rupawan

Lahirlah kamu ke alam nyata

Untuk berbakti kepadanya tuhan

Dunia akhirat wajib serta

iii. a/a/a/b

Susunan rima kahir ini terdapat dalam rangkap terakhir dalam syair Berendoi ini seperti berikut :

Ilmu yakin mula pertama

Dipetualah sekalian ulama

Itulah menjadi pakaian kita

Kepada Allah kita berserah

Dalam aspek ini umumnya dari segi bentuk, syair berendoi ini adalah menepati dengan ciri-ciri yang berikan oleh Harun Mat Piah (1989:231-239):

i. dua baris serangkap, dengan rima a-b,a-b dan seterusnya.

ii. Tiga baris dengan rima a-a-b, a-a-b dan seterusnya.

iii. Empat baris dengan rima a-a-a-a.

iv. Empat baris dengan rima a-b-a-b

v. Empat baris dengan rima a-a-b-b.

vi. Empat baris dengan skema rima a-a-a-b, c-c-c-b, d-d-d-b dan seterusnya.

vii. Empat baris dengan skema rima a-a-a-b, c-c-c-d, e-e-e-f dan seterusnya.

viii. Empat baris serima (monorhyme)

ix. Empat baris dalam bentuk berkait.

Jika diteliti, biasanya dalam setiap satu baris syair, akan terdapat hentian pendek di pertengahan barisnya menjadikan baris tersebut terbahagi kepada dua. Pembahagian ini menjadikan adanya timbangan dalam pengucapan dan apalagi dalam lagu dan nyanyian di mana syair digunakan (Harun Mat Piah,1989:226). Dalam syair berendoi, hentian ini terdapat dalam setiap baris dan ianya jelas dapat dikesan apabila syair ini dilagukan.

Contoh:

Dua puluh lima / rasul pilihan

Nama trsebut / di dalam Al-Quran

Martabat yang tinggi / dilebihkan tuhan

Hendaklah kita / imankan

Mula pertama / nabi Allah Adam

Nenek manusia / kafir dan Islam

Mula asalnya / dari Islam

Di tempat Jibrail / tanah segenggam

Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan di atas didapati syair berendoi ini menepati ciri-ciri bentuk yang terdapat dalam syair.

2.2.2 Isi dan Tema

Dalam syair rangkap-rangkapnya mempunyai tautan yang menunjukkan kesatuan idea bersesuaian dengan isi yang ingin disampaikan. Oleh itu, syair biasanya terdiri daripada beberapa rangkap. Kebiasaannya bagi menjelaskan tema yang ingin disampaikan, syair memerlukan jumlah rangkap yang agak banyak.

Berdasarkan isi dan tema yang disampaikan, syair dapat dikelaskan kepada bentuk-bentuk tertentu. Memanglah sukar untuk mengadakan suatu cara membahagikan syair-syair kepada bentuk-bentuk tertentu. Za’ba telah membahagikan syair kepada beberapa bentuk berdasarkan isi dan kepanjangan syair tersebut iaitu syair romantis, syair agama (mistik) dan syair sejarah. Pembahagian ini didapati agak terbatas memandangkan adalah sukar untuk menentukan bentuk yang benar-benar sesuai bagi menempatkan syair-syair lain yang mungkin tidak sesuai dengan bentuk tersebut. Harun Mat Piah (1989: 243) telah mengkelaskan syair Melayu kepada tujuh bentuk berdasarkan isi dan tema syair-syair tersebut, iaitu :

I Berbentuk cerita (narratives);

a. syair romantis

b. syair sejarah

c. syair keagamaan

d. syair kiasan

II Berbentuk bukan cerita (non-narratives);

a. syair agama

b. syair nasihat

c. syair dengan tema-tema yang lain.

Berpandukan bentuk-bentuk di atas, syair berendoi adalah dalam kelompok bentuk syair bukan cerita dengan tema-tema lain yang berasingan. Ini kerana syair ini mengandungi tema keagamaan, nasihat dan pengajaran sebagai panduan kepada pendengar.

Dalam syair berendoi ini, penyair menekankan keutamaan beriman kepada rasul sepertimana yang terkandung dalam Rukun Iman. Ini jelas seperti berikut :

Dua puluh lima rasul pilihan

Nama tersebut di dalam Al-Quran

Martabat yang tinggi dilebihkan tuhan

Hendaklah kita imankan

Sesuai dengan syair ini yang dilagukan dalam adat-istiadat berendoi, pesanan kepada anak disertakan dengan puji-pujian tentang tujuan lahirnya ke dunia ini dalam rangkap berikut :

Ayuhai budak yang cantik rupawan

Lahirlah kamu ke alam nyata

Untuk berbakti kepadanya tuhan

Dunia akhirat wajib serta

2.3 Fungsi

Menurut Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh (1985:xx), pada umumnya puisi tradisional memiliki dua fungsi pokok. Pertama puisi tersebut sering dikaitkan dengan unsur hiburan, kedua dikatakan sebagai penyalur unsur-unsur didaktik, adat-istiadat serta undang-undang yang diamalkan oleh masyarakat ketika itu.

Syair-syair yang dilagukan pada masa lalu memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Khalayak secara langsung dipaparkan dengan nilai-nilai keagamaan, nasihat, pengajaran, kasih-sayang, berbudi bahasa, tolong-menolong dan sebagainya. Secara ringkasnya fungsi-fungsi syair dalam masyarakat adalah seperti berikut :

i. sebagai hiburan

ii. sebagai media komunikasi dalam aktiviti kesenian seperti upacara keagamaan, perkahwinan, menyambut kelahiran bayi, hadrah dan sebagainya.

iii. Menjadi wahana dalam aktiviti masyarakat yang lain seperti menujum, mentadbir mimpi, mentera dan sebagainya.

iv. Sebagai media untuk menyampaikan cerita.

v. Sebagai media menyampaikan pengajaran.

vi. Menggambarkan masyarakat Melayu dalam penglahiran keindahan.

vii. Menggambarkan world-view masyarakat Melayu.

Dalam hal ini, syair berendoi juga menepati beberapa ciri-ciri di atas. Ini dapat dilihat dalam penjelasan berikut:

i. Hiburan

Dalam masyarakat dahulu syair menjadi wadah hiburan yang penting selepas pantun. Malahan syair menjadi penyeri dalam majlis seperti perkahwinan, menyambut kelahiran bayi, maulud dan sebagainya. Hal demikian berlaku kerana pada ketika itu media hiburan masih belum wujud. Syair-syair yang dilagukan inilah yang menjadi hiburan kepada masyarakat ketika itu. Keistimewaannya jelas terletak pada penggunaan kata-kata dan apatah lagi bila dilagukan. Irama-irama dari syair yang dilagukan inilah yang menimbulkan suasana tertentu kepada khalayak pendengar. Ini dijelaskan oleh Siti Zainon Ismail (1994:98) :

Irama berasal daripada suara yang mampu mengolah dan mencipta suasana. Sungguh suara adalah pemberian semulajadi (daripada Allah) tetapi manusia boleh membimbing rohnya untuk mencapai keharmonian bunyi, irama atau melodi daripada gema suara. Dia bisa melengking nyaring menuju ruang tinggi, lembut, mendesah jauh ke dasar bawah atau berlegar-legar terapung tenang bergelombang.

Menurut Hj. Hamid dan Idris (penutur), syair berendoi ini mempunyai pelbagai lagu dan salah satu tujuan adalah sebagai melahirkan tanda gembira menyambut kelahiran anak.

ii. Media komunikasi dalam jenis-jenis kesenian.

Selain sebagai hiburan, syair berendoi juga menjadi media komunikasi dalam adat-istiadat berendoi. Meneliti kepada isi-isi syair dan temanya, jelas menunjukkan wujudnya interaksi antara penutur dengan pendengar apabila syair ini dilagukan. Isinya mempunyai pesanan kepada pendengar dan juga puji-pujian.

iii. Menyampaikan pengajaran

Biasanya isi dan tema syair berendoi ialah nasihat dan pengajaran. Ini ditujukan terutama kepada anak-anak agar menjadi anak yang baik, taat, berbakti dan membalas budi kepada ibu bapa.

Syair berendoi ini dimulai dengan menceritakan tentang rasul-rasul dan wajib beriman dengannya serta diikuti dengan nasihat kepada si anak. Dalam syair berendoi yang dikumpulkan, unsur pengajaran dan nasihat yang terkandung di dalamnya ialah hendaklah sentiasa berpegang dengan ajaran Islam dan mengabdikan hidup kepada Allah untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Di samping harapan ibu bapa kepada anaknya menjadi anak yang beriman dan sentiasa bersabar serta berserah kepada Allah.

iv. Menggambarkan daya kreativiti dalam penglahiran keindahan

Apa yang membezakan antara syair dengan bentuk-bentuk lain ialah daya penariknya kepada deria, terutama sekali melalui penggunaan rentak irama, pola irama dan bahasanya.

Kesan dan kekuatan bahasa dalam masyarakat Melayu memang terkenal. Kata dianggap mempunyai kuasa bagi melaksanakan maksud dan menyampaikan kesannya. Di sinilah letaknya kreativiti penyair iaitu melahirkan keindahan dalam syair melalui penggunaan kata-kata.

Malahan Marsden sendiri mengakui bunyi vokal dan konsonan dalam bahasa Melayu menyebabkan ia amat sesuai dengan puisi yang begitu disukai oleh orang Melayu. Disebabkan unsur bunyi dalam puisi lisan, ia dapat memikat pendengaran, ia dianggap mempunyai nilai estetik serta magis. Isi sesebuah syair dan keahlian penyair boleh menentukan sejauh mana kata-kata yang enak boleh digunakan (Siti Hawa Salleh, ed. 1987:130).

Dalam syair berendoi ini, penulis berpendapat baris-baris berikut menunjukkan kreativiti penyair menggunakan susunan kata-kata untuk menimbulkan keindahan dalam syair ini. Justeru syair tersebut dapat disampaikan melalui kata-kata yang tersusun indah, ditambah dengan iramanya yang merdu. Keindahan bahasa hasil kreativiti penyair dalam syair berendoi dapat dilihat antaranya melalui baris-baris berikut:

Manusia karamah sekalian nabi

Di tempat Jibrail tanah segenggam

Ayuhai budak yang cantik rupawan

v. Menggambarkan world-view masyarakat Melayu

Umumnya, puisi dan cerita-cerita tradisional menggambarkan tentang falsafah hidup dan mencerminkan nilai-nilai serta sikap sesuatu masyarakat pada masa dahulu. Menurut Rahman Shaari dan Nurazmi Kuntum (1984:18), cara hidup dalam masyarakatnya cukup banyak diadun dalam bentuk puisi. Puisi itu umumnya lahir dan amat banyak bergantung kepada persekitaran.

Dalam hal ini, syair juga memainkan peranan yang penting sebagai wadah bagi masyarakat dahulu menzahirkan nilai-nilai dan sikap mereka. Ini menggambarkan kepekaan masyarakat terhadap persekitarannya, mementingkan nilai budi dan adat. Adalah jelas segala bentuk aktiviti dalam masyarakat dahulu terilham melalui persekitaran dan tergambar dengan jelas di dalam rangkap-rangkap puisi yang dihasilkan.

Jadi berdasarkan fungsi-fungsi yang dijelaskan, ternyata bahawa syair berendoi tidaklah semata-mata sebagai media hiburan malah ia turut digunakan sebagai alat untuk menggerak dan menyedarkan masyarakat. Selain daripada mengutarakan isi yang berbentuk nasihat, ia juga turut membicarakan soal-soal ilmu pengetahuan, budi pekerti manusia yang disandarkan kepada ajaran Islam dengan tujuan untuk memupuk semangat keislaman dan kesedaran di kalangan orang Melayu.

3.0 Penutup

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas terbukti dan menunjukkan bahawa syair berendoi yang telah didokumentasikan dan dibincangkan di sini adalah tergolong dalam kategori syair dalam Puisi Melayu. Kesahihan penggolongan ini adalah terbukti berdasarkan beberapa kriteria yang telah dibincang itu iaitu definisi, ciri-ciri, fungsi dan kepentingan cerita tersebut dalam konteks masyarakat Melayu ketika itu. Malahan tidak dapat dinafikan, syair berendoi ini masih lagi mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu terutama dalam majlis menyambut kelahiran bayi. Syair berendoi ini masih terus dilagukan dan tetap mengekalkan ciri-ciri syair yang baik dan menunjukkan ciri-ciri kelisanannya yang hingga kini masih menjadi warisan dan kebanggaan serta khazanah bangsa yang tidak ternilai harganya.

BERENDOI

Berendoi masih bergerak aktif hingga ke hari ini dan boleh ditonton kebanyakannya di negeri Perlis, Kedah, dan Perak. Di negeri Perak nyanyian berendoi ini menggunakan nama Dendang Siti Fatimah dan seni katanya berlainan dengan seni kata yang dibawa oleh kumpulan Berendoi di Perlis dan Kedah. Adat berendoi atau buai bayi ini dipersembahkan sebagai tanda keriangan atau kesyukuran menyambut kelahiran cahaya mata. Lagu-lagu Berendoi atau Dendang Siti Fatimah membawa seni kata yang memuji junjungan Nabi Muhammad s.a.w, menceritakan perihal susah payah ibu mengandung dan melahirkan anak dan juga nasihat-nasihat kepada kanak-kanak. Ada juga seni kata yang dicipta oleh kumpulan ini disesuaikan dengan keadaan semasa. Antara lagu yang dibawa dalam majlis berendoi ialah Tuhan Rabbul'alamin, Anak di dalam Buaian, Ayuhai Anak Cahaya Mata, Kebesaran Allah, dan Aduhai Anak Jangan Durhaka. Berikut ialah lagu Anak di dalam Buaian:

Ayuhai anak di dalam buaian,
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu Berendoi kami dendangkan,
Di dalam majlis tanda kesyukuran.

Lamalah sudah kami menanti,
Namun engkau tak kunjung tiba,
Dengan takdir ilahi rabbi,
Kini engkau sudah menjelma.


video video

No comments:

Post a Comment