amalan sebelum dan selepas bersalin


\

Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:

  • Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah.

  • Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

  • Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.

  • Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititikberatkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.

  • Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu - waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama. Mungkin selera makannya hilang, perasaan agak terganggu(sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Ketika ini para suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta memberi dorongan yang kuat kepadanya.

AMALAN SUNAT SEMASA MENGANDUNG & SELEPAS BERSALIN

Semasa mengandung merupakan masa yang banyak mengalami perubahan emosi dan fizikal. Di samping itu mengandung juga merupakan suatu harapan dan cita-cita sebuah perkahwinan. Oleh itu banyak amalan-amalan yang sunat dilakukan semasa mengandung agar zuriat yang bakal lahir itu nanti menjadi generasi yang cemerlang, baik di dunia dan di akhirat.

Dalam mencapai matlamat tersebut, anak itu mestilah ditarbiyah sejak dia masih janin lagi atau semasa di dalam kandungan. Tingkah laku ibu bapa yang baik semasa ibu itu sedang hamil merupakan satu pendidikan awal. Di antara amalan-amalan yang sunat dilakukan ketika sedang hamil ialah memperbanyakkan membaca ayat-ayat Al-Qur‘an dan berdoa, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Sunni daripada Fatimah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya :

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila (Fatimah) hampir melahirkan, Rasulullah memerintahkan Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsyin menghampir Fatimah maka Baginda membaca ayat Al-Kursi dan surah Al-‘Araf (ayat 54) di sisi Fatimah dan memohon perlindungan kepada Allah dengan membaca surah Al-Falaq dan An-Nas”.

Doa yang sunat dibaca ketika hamil itu termasuklah doa Nabi Yunus ‘alaihissalam yang tafsirnya :

“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan engkau (Ya Allah!) Maha Suci engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah aku!) Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

(Surah Al-Anbiya‘: 87)

Begitu juga bagi ibu-ibu yang sukar bersalin, Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Apabila seorang perempuan itu sukar bersalin, tuliskan di dalam bejana surah Al-Ahqab (ayat 35) dan surah Al-Nazi‘at (ayat 46), kemudian air itu disapukan dan diminum serta disapukan di perut dan kemaluannya”.

(Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Pada kebiasaannya selepas melahirkan anak, Islam telah menggariskan cara yang sebaik-baiknya menyambut kelahiran anak tersebut. Antaranya ialah memberikan ucapan tahniah dan merasa gembira di atas kelahiran anak tersebut, menyerukan azan dan iqamah, mentahniq, mencukur rambut, memberi nama, aqiqah dan sebagainya yang telahpun dikeluarkan dalam ruangan Irsyad Hukum terdahulu.

MANDI KERANA WILADAH DAN NIFAS

Seorang perempuan yang telah selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu iaitu mandi kerana beranak (wiladah) dan mandi kerana nifas.

Para ulama telah ijmak mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar darah nifas. Termasuk di dalam perkara yang mewajibkan mandi ialah wiladah iaitu mandi kerana beranak, sekalipun melahirkan tanpa basah (darah). Begitu juga bagi perempuan yang mengalami keguguran anak, tidak terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) ataupun hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).

Bagi sebilangan perempuan yang terpaksa menjalani pembedahan perut untuk mengeluarkan anak, maka dikategorikan hal yang sedemikian itu sebagai wiladah maka wajib ke atas perempuan tersebut melakukan mandi.

Perlu diingat, mandi kerana beranak dan mandi kerana nifas mempunyai perbezaan. Bagi mengelak kekeliruan, maka darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak sekalipun hanya setitik. Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu lima belas hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak. Andaikata darah itu tidak keluar melainkan setelah berlalu masa selama lima belas hari atau lebih, maka darah yang keluar itu tidak dikatakan sebagai nifas tetapi ia merupakan darah haidh. Maka dalam hal ini perempuan tersebut diwajibkan mandi kerana nifas.

Manakala mandi kerana wiladah ialah apabila seorang perempuan itu melahirkan anak atau mengalami keguguran anak sekalipun hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah). Maka wajib bagi perempuan itu mandi kerana beranak (wiladah) setelah berlakunya kelahiran atau keguguran sebagaimana disebutkan.

Maka apabila seorang perempuan telah melahirkan anak, dia wajib mandi kerana beranak (wiladah) dan wajib juga ke atasnya mandi nifas setelah berhenti darahnya atau habis tempoh masa yang sederhana iaitu empat puluh hari empat puluh malam atau masa paling maksima selama enam puloh hari enam puloh malam.

Sayugia diperingatkan bahawa adalah wajib bagi seorang perempuan itu mengetahui hukum-hukum berkaitan dengan mandi wiladah dan mandi kerana nifas, dan wajarlah bagi suami yang mengetahuinya mengajarkan hukum-hukum tersebut kepada isteri masing-masing.

MENGURUS TEMBUNI

Mengikut Kamus Dewan tembuni atau uri ialah sampul tian atau uri yang bersambung dengan tali pusat yang keluar sesudah bayi dilahirkan. Ia juga disebut tebuni oleh sebilangan orang tempatan.

Bagi mereka yang melahirkan anak di rumah sakit, pada kebiasaannya, tembuni diserahkan kepada pihak keluarga perempuan yang telah bersalin. Berbagai cara pengendalian tembuni yang dilakukan oleh masyarakat kita. Pada kebiasaannya, tembuni tersebut terlebih dahulu dibersihkan. Selepas itu tembuni akan disimpan dalam bayung atau dibungkus dalam suatu bekas untuk ditanam. Ada sebahagian orang menggantungkannya di tiang atau pohon pokok dan didapati juga menyimpannya. Selain itu ada juga orang membuangkannya ke dalam tong sampah atau menghanyutkannya di sungai-sungai.

Menurut ulamak Syafi‘e anggota-anggota badan yang haram dilihat sama ada daripada anggota lelaki seperti bulu ari-ari atau daripada anggota perempuan seperti rambut dan kuku, apabila benda-benda tersebut bercerai daripada badan maka wajib benda-benda tersebut ditanam.

Maka tembuni atau uri selepas bersalin itu tidak wajib ditanam kerana ia bukan daripada anggota badan. Walau bagaimanapun cara yang elok (sunat) dalam mengurus tembuni itu ialah dengan menanamnya. Sepertimana juga kuku atau rambut lelaki sunat ditanam kerana ia merupaka anggota badan yang tidak haram dilihat. Berlainan halnya dengan rambut atau kuku, ia merupakan anggota badan yang haram dilihat oleh lelaki yang bukan mahram, maka anggota-anggota tersebut wajiblah ditanam.

Oleh yang demikian sewajarnya orang Islam mengetahui adab-adab Islam dan tidak mengabaikannya kerana Islam mengajarkan umatnya dari semua sudut kehidupan termasuk menjaga kebersihan diri dan anggota tubuh badan hinggalah kebersihan rumah dan halaman. Hal ini telah disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya:

“Sesungguhnya (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda: “Bersihkanlah halaman (rumah) kamu”.

(Hadis riwayat Al-Tarmizi)


SUSU

2 atau 3 gelas setiap hari atau gantikan dengan susu kacang soya atau dadih jika tidak gemar susu lembu

NASI/ROTI

5 hidangan sehari

PROTEIN

Iaitu daging, ikan, kerang, organ lembu. 2 hidangan sehari dan boleh diganti dengan kekacang, tauhu, tempe

TELUR

1 biji sehari atau 5 - 6 biji seminggu

SAYUR-SAYURAN

2 hidangan sehari

BUAH-BUAHAN

2 hidangan sehari

AIR

Tidak kurang 8 gelas sehari


BERSENAM SECARA WAJAR

Bersenam perlu digalakkan semasa hamil, kalau ini memang merupakan amalan anda ketika sebelum hamil. Senaman akan dapat membantu anda menenangkan diri serta menghadapi kelahiran dengan lebih berkesan. Tetapi kalau anda tidak pernah bersenam selain melakukan kerja-karja rutin di rumah semasa sebelum hamil, anda tidak perlu menukar tabiat ini semasa hamil.

Apa yang penting ialah dia boleh melakukan apa-apa riadah yang biasa dilakukannya sehinggalah kandungannya yang semakinbesar itu menghalang pergerakkannya. Bagi orang Islam amalan sembahyang juga boleh memberi kesan positif kepada mental dan fizikal kepada wanita hamil dan anak dalam kandungan.

  • Jangan bersenam atau beriadah sehingga anda berasa sangat letih atau kehabisan nafas.

  • Elakkan sukan yang lasak yang boleh mengugat kandungan atau mencederakan abdomen anda.

  • Berhati-hati pada minggu-minggu pertama kehamilan anda atau pada minggu akhir tempoh kehamilan kerana anda mungkin akan terlalu meregangkan ligmen anda.

Kaedah Gerak Kerja :

  1. Melakukan kerja di kedudukan yang rendah

Lakukan seberapa banyak kerja yang mungkin pada kedudukan lantai seperti melutut atau duduk bersimpuh dan bukannya membongkok.

  1. Mengangkat dan membawa barang

Apabila mengangkat sesuatu objek, bengkokkan lutut dan tegakkan belakang badan anda sedapat mungkin supaya objek tersebut dibawa dekat kepada badan anda. Jangan cuba mengangkat barang dari tempat yang tinggi kerana anda mungkin hilang keseimbangan.

  1. Berdiri selepas berbaring

Apabila anda hendak berdiri selepas berbaring, sentiasalah mengiring terlebih dahulu. Kemudian bergerak kedudukan melutut. Gunakan kekuatan peha anda untuk menolak badan anda naik : pastikan belakang anda tegak.


Merehatkan Minda

Sambil merehatkan badan, cuba tenang dan kosongkan minda anda. Tarik nafas dengan perlahan dan seimbang, kemudian lepaskan nafas juga dengan perlahan-lahan. Jangan bernafas terlampau kuat.

Kepada orang Islam amalan berzikir dan membaca Al Quran cukup berkesan untuk menenangkan diri dalam kontek mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Kehamilan merupakan saat istimewa dalam kehidupan seseorang. Mendidik diri dalam penjagaan kesihatan yang baik, dan mengetahui pilihan dalam menyediakan diri dengan penjagaan terbaik adalah perlu untuk kehamilan yang sihat.

Nikmatilah pelbagai pautan tentang maklumat dan pendidikan kesihatan, serta penjagaan kesihatan daripada laman MyGoverment kami. Laman ini menyediakan maklumat sokongan tentang kehamilan dan kelahiran.

Untuk memastikan proses kehamilan anda bermula dengan sebaik-baiknya, adalah sewajarnya anda berpandangan jauh dan merancang kehamilan. terdapat beberapa langkah yang boleh di ambil, bukan sahaja meningkatkan peluang anda untuk hamil, malahan juga juga menjamin bayi anda lahir secara normal dan sihat.

Sebaik-baik perancangan untuk kehamilan ialah dalam tempoh 3 bulan sebelum anda hamil. Ini adalah kerana dalam beberapa minggu pertama inilah, ketika anda tidak menyedari anda hamil, perkembangan bayi dalam kandungan mudah terjejas. Justeru itu, menjaga kecergasan badan dan pemakanan yang sempurna dapat memastikan anda telah melakukan langkah yang sebaik-baiknya dalam menjaga dan membekal zat yang perlu kepada bayi dalam kandungan.

Senarai Semakan Untuk Kehamilan :

Adakah anda lali terhadap Rubela ?

Jangkitan Rubela atau German Measles boleh mengakibatkan kecacatan pada bayi dalam kandungan, terutama pada awal kehamilan ketika organ dalaman bayi sedang berkembang. Oleh itu sebelum hamil, mintalah doktor menjalani pemeriksaan darah terhadap anda untuk memastikan anda mempunyai pelalian terhadap penyakit Rubela. Jika tidak ada, doktor boleh memberikan anda vaksin ( suntikan pelalian Rubela ).

Anda tidak sepatutnya hamil sekurang-kurangnya 3 bulan dari tarikh suntikan tersebut.

Adakah anda atau pasangan anda mempunyai masalah penyakit keturunan ?

Beberapa masalah perubatan, contohnya Hemofilia dan Fibrosis Bersista, dijangkiti secara keturunan. Sekiranya anda atau pasangan anda mempunyai saudara rapat yang dijangkiti penyakit keturunan, maka ada kemungkinan penyakit itu akan diturunkan kepada bayi anda.

Rujuklah kepada doktor atau kaunselor genetik yang boleh menjangka tahap risiko yang mungkin anda hadapi.

Adakah anda mengambil atau pernah mengambil pil perancang ?

Sekiranya anda ada mengambil pil perancang maka di syorkan berhenti mengambilnya untuk suatu jangka masa yang panjang sebelum anda bercadang untuk hamil supaya badan anda mempunyai masa untuk kembali ke kitaran normalnya. Seelok-eloknya, berhenti selama 3 kitaran haid sebelum anda cuba untuk hamil.

Adakah anda mempunyai keadaan perubatan jangka panjang ?

Sekiranya anda mempunyai gangguan dari segi perubatan, contohnya kencing manis atau Epilepsi, anda sepatutnya berbincang dengan doktor anda sebelum cuba hamil. Doktor anda mungkin akan mengubah rawatan anda kerana ubat yang anda ambil mungkin boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan atau mengakibatkan kesukaran waktu hamil.

Adakah kerja anda memungkinkan anda menghadapi sebarang risiko ?

Jika kerja anda terdedah kepada bahan kimia, plumbum, ubat bius atau sinar-X, ini mungkin mempengaruhi peluang anda untuk hamil atau mendatangkan risiko kepada bayi. Dapatkan nasihat doktor. Adalah lebih baik anda bertukar pekerjaan sebelum hamil. Anda juga boleh berbincang dengan majikan anda sekiranya pekerjaan anda melibatkan kerja berat dan membebankan yang mungkin boleh memudaratkan kesihatan anda dan bayi.

Berapakah berat badan anda ?

Sebaik-baiknya berat badan anda berada pada paras normal, iaitu bersesuaian dengan ketinggian anda ( berat badan unggul ), selama sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum anda hamil. Dapatkan nasihat doktor bagi mencapai berat bandan yang sesuai. Jangan sekali-kali berdiet sewaktu hamil, kecuali anda menghadapi masalah berat badan yang serius, kerana ini mungkin menyebabkan badan anda kekurangan zat penting.

Adakah anda makan dengan sempurna ?

Amalkan tabiat pemakanan yang sihat yang banyak mengandungi makanan segar, ini akan meningkatkan peluang anda untuk hamil dan mendapatkan bayi yang sihat.

Adakah anda merokok atau minum minuman keras ?

Anda dan pasangan anda patut berhenti merokok atau berhenti meminum minuman keras sebaik sahaja anda ingin hamil kerana tembakau dan alkohol mempengaruhi kesuburan lelaki dan wanita di samping boleh memudaratkan bayi sebelu dan selepas bersalin.

Adakah anda banyak melakukan senaman ?

Untuk memastikan badan anda sentiasa sihat dan cergas, anda perlu bersenam, contohnya berjalan atau berenang selama 20 minit setiap hari.



No comments:

Post a Comment